Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor titah solat jemaah, Jumaat ditangguh sehingga 31 Mei

SHAH ALAM, 13 APRIL: Tempoh penangguhan semua kegiatan di masjid, surau dan musolla termasuk solat Jumaat di seluruh negeri dilanjutkan sehingga 31 Mei ini, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah keputusan itu dibuat demi kesejahteraan rakyat Selangor bagi membendung penularan Covid-19.

“Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor dan solat fardhu serta solat sunat tarawih pada Ramadan tahun ini hendaklah dilakukan di rumah masing-masing.

“Namun demikian, jika wabak ini dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal, maka satu arahan baru akan dikeluarkan,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap 6.5 juta penduduk Selangor yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak sekiranya langkah pencegahan tidak diambil bersungguh-sungguh.

Sultan Selangor juga berharap tiada lagi rakyat negeri ini yang akan dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

“Setiap rakyat perlu lebih serius dalam usaha mencegah jangkitan wabak dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Rakyat perlu mematuhi peraturan dan arahan kerajaan serta mengikuti garis panduan terkini dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” titah baginda.