Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan laksana PKP keputusan yang berat – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara adalah keputusan berat yang perlu diambil bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikekang di Malaysia, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata keputusan itu yang dibuat 17 hari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri, bukanlah suatu tindakan yang mudah untuk dilakukan namun perlu diambil bagi melindungi dan menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

“Kita tahu ia (Covid-19) adalah situasi yang agak merbahaya dan boleh mengancam nyawa dan usaha harus kita buat dengan seberapa cepat yang mungkin kerana kelewatan sehari itu akan membawa kesan yang besar kepada rakyat.

“Maka sebab itu kita membuat satu keputusan yang tidak pernah kita buat sebelum ini iaitu untuk mengenakan PKP sebagai cara mengekang penularan wabak Covid-19… dan kita lihat ini berlaku di banyak negara, hakikat bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas yang disiarkan di RTM, Astro Awani, TV3 dan Bernama TV.

Muhyiddin berkata langkah yang dimulakan pada 18 Mac itu, kini semakin membuahkan hasil apabila menunjukkan perkembangan baik terhadap usaha mengekang penularan Covid-19.

“Hari ini Alhamdulillah, nampak ia (PKP) telah diterima rakyat iaitu sebagai kaedah membendung, di samping langkah-langkah yang diambil menerusi Kementerian Kesihatan.

“Kemudahan yang ada termasuk kepakaran doktor, peralatan (diguna) untuk menentukan mereka yang telah disaring dan didapati berjangkit itu, mestilah dirawat,” katanya.

Muhyiddin menegaskan PKP adalah untuk mendukung usaha kerajaan supaya tindakan mengawal Covid-19 dari sudut kesihatan dapat dilakukan secara berkesan.

“Apa yang berlaku bila kita tahu masa PKP tidak lain, duduk diam di rumah sahaja. Jangan bergerak ke mana-mana dan jangan lakukan amalan-amalan biasa kita buat.

“Jangan berhimpun, jangan berdekatan ataupun langkah-langkah lain yang perlu kita ambil seperti penjarakan sosial dan basuh tangan dan macam-macam lagi yang telah ditetapkan SOP (tatacara operasi piawai) oleh Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang merupakan pejuang kanser turut menzahirkan rasa syukur kerana masih diberi kesihatan dan kudrat dalam menjalankan tanggungjawab mentadbir negara pada masa kritikal ini.

“Saya tidak gusar, ada juga yang beri peringatan supaya saya berhati-hati atas sebab kemungkinan ‘immunity’ (daya tahan diri) saya tak setinggi mana-mana pihak tapi Alhamdulillah, setakat ni saya mampu untuk menjalankan tugas dan tak terganggu, dengan sebab saya pernah mengalami masalah sebegitu,” katanya.

Ditanya tentang pendekatan lebih santai yang digunakan ketika memberi ucapan sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin berkata ia bertujuan memastikan maklumat disampaikan dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat.

“Audiens saya ataupun yang menjadi penonton adalah rakyat kita, sebahagian besarnya adalah rakyat biasa…kerana mereka ini generally (secara umum), merupakan rakyat biasa dan mereka harus faham apa yang Perdana Menteri cakap.

“Bukan apa, cara begitu agak lebih berkesan, bahasa yang mudah dan saya tengok balik tulisan skrip, saya mahu apa yang saya bacakan nanti jangan terlalu bombastik, bahasa-bahasa yang agak tinggi sampai orang tak faham apa Perdana Menteri cakap ni,” katanya.

– BERNAMA