Categories
PBT SELANGOR

Tuntutan semula bayaran permit bazar Ramadan dibuka mulai esok

SHAH ALAM, 21 APRIL: Peniaga yang sudah menjelaskan bayaran permit penjaja bazar Ramadan 2020 boleh membuat permohonan tuntutan semula wang tersebut mulai esok hingga 5 Mei depan.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan pemohon boleh membuat tuntutan Bayaran Balik Permit Sepenuhnya atau Bayaran Balik Permit Sebahagian (kecuali kanopi).

“Permohonan yang lengkap akan diproses dan tuntutan bayaran balik akan dikreditkan terus ke akaun pemohon.

“Semua peniaga yang sudah menjelaskan bayaran permit bazar Ramadan layak membuat tuntutan balik pembayaran,” kata MBSA di Facebook hari ini.

Permohonan boleh dibuat dengan melayari eBazar atau sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Pelesenan MBSA 03-55105533 sambungan 1699/1486/1761 (Isnin hingga Jumaat 9 pagi hingga 2 petang).

Cara permohonan bayaran balik:

Bayaran Balik Permit Sepenuhnya

-Pemohon perlu mengisi borang tuntutan dan memuat naik penyata bank atas nama yang sama

Bayaran Balik Permit Sebahagian (kecuali kanopi)

-Pemohon perlu memuat naik penyata bank atas nama yang sama dan permit/ lesen yang sah tahun 2020 (pasar malam, pasar pagi, penjaja sementara)

-Kanopi boleh dituntut di Dewan Beringin Seksyen 24 mulai 6 Mei

Pada 1 April lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri membuat keputusan membatalkan bazar Ramadan di seluruh Selangor kerana bimbang dengan penularan wabak Covid-19.