KUALA LUMPUR, 8 MEI: Pusat pemborong terbesar di Malaysia, GM Klang kembali beroperasi Isnin lepas di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan 70 peratus perniagaannya mula aktif dan akan meningkat dari semasa ke semasa.
Pengurus Pengiklanan dan Promosi pusat pemborong itu, Norsuhaida Othman dalam kenyataan hari ini berkata sebagai tempat tumpuan umum, GM Klang bersedia dengan langkah-langkah pencegahan dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti yang ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan persekitaran beli-belah yang selamat kepada pengunjung.
“Antara persediaan itu ialah saringan kesihatan sebelum pengunjung dibenarkan masuk, kemudahan sanitasi tangan, pelaksanaan penjarakan sosial di tempat sesak seperti lif, mesin pengeluaran wang automatik, kaunter perkhidmatan awam dan kaunter pembayaran di setiap kedai.
“Peniaga dan pekerja juga diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan kompleks yang mana ia merupakan perkara penting kerana dijangka kompleks itu bakal menerima kunjungan ramai menjelang Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Norsuhaida berkata, GM Klang sudah sinonim sebagai tempat popular untuk ‘shopping’ raya serta memahami kehendak orang awam yang ingin mendapatkan barangan raya walaupun dalam situasi negara dilanda wabak Covid-19, justeru pihaknya memandang serius keselamatan pengunjung dan berusaha untuk menyediakan persekitaran yang sihat sewaktu beli-belah.
Selain itu, menurut Norsuhaida, GM Klang turut menganjurkan kempen ‘Beli Sambil Derma’ bermula hari ini sehingga 23 Mei depan. Mereka yang berbelanja sebanyak RM100 dan ke atas di kedai pusat pemborong tersebut layak membeli produk istimewa yang ditawarkan dengan harga hanya RM2.
“Dengan setiap pembelian itu, GM Klang akan menambah RM3 lagi dan ini bermakna sebanyak RM5 akan disalurkan kepada badan kebajikan bagi setiap produk istimewa yang ditebus oleh para pelanggan.
“GM Klang turut aktif mempromosikan produk raya peniaga-peniaga mereka melalui sesi ‘live’ di media sosial GM Klang. Sesi ‘live’ itu dijangka diadakan dari 12-22 Mei ini. Sila ikuti media sosial GM Klang untuk maklumat lanjut,” katanya.
– BERNAMA