KUALA LUMPUR, 1 MEI: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan Garis Panduan Pelarasan Gaji FAM iaitu penetapan kadar pemotongan gaji pemain dan pegawai untuk pasukan atau kelab Liga Malaysia (Liga-M) yang masih gagal mencapai persetujuan bersama selepas tarikh akhir pada 22 April lepas.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata menerusi garis panduan berkenaan, badan induk itu menetapkan empat kategori kadar pemotongan gaji maksimum antara 10 dan 30 peratus yang dianggap adil serta setara berdasarkan situasi kewangan pasukan atau kelab.
Pemotongan kategori satu iaitu julat gaji antara RM4,999 dan ke bawah melibatkan pemotongan sebanyak 10 peratus, kategori dua bagi gaji antara RM5,000 dan RM9,999 (15 peratus), kategori tiga bagi gaji antara RM10,000 dan RM14,999 (20 peratus), manakala kategori empat untuk gaji antara RM15,000 dan ke atas ditetapkan pada kadar 30 peratus.
“Bagaimanapun, sebarang penambahan peratusan atau jumlah pemotongan gaji yang melebihi kadar 30 peratus perlu dikira sebagai penangguhan pembayaran dan ia berdasarkan persetujuan bersama selepas perbincangan secara muhibah antara pasukan atau kelab, pemain dan pegawai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Stuart berkata kadar pemotongan gaji bermula April bagi kategori satu hingga tiga, manakala bagi kategori empat pula pemotongan April adalah sebanyak 25 peratus dan pemotongan sebanyak 30 peratus hanya akan bermula dari Mei dan seterusnya.
Menurut Stuart, tempoh pemotongan gaji bermula dari April hingga gaji bulan berikutnya selepas tarikh saingan Liga-M di sambung semula.
“Sebagai contoh, jika saingan disambung pada Julai 2020, gaji bulan berkenaan masih dipotong dan gaji penuh hanya akan bermula gaji Ogos 2020. Jika saingan bersambung pada Ogos 2020, maka gaji penuh hanya akan bermula gaji September 2020,” katanya.
Stuart menegaskan FAM berhak menyelaras semula kadar peratusan pemotongan gaji itu berdasarkan situasi semasa kewangan membabitkan industri bola sepak tanah air pada bila-bila masa yang dirasakan perlu.
Katanya, jika terdapat keperluan untuk tempoh pertandingan dilanjutkan melewati tempoh akhir kontrak bagi memastikan musim Liga-M 2020 dapat dilengkapkan, kontrak pemain dan pegawai akan dilanjutkan serta- merta sehingga berakhirnya pertandingan musim ini.
Stuart mengingatkan pasukan dan kelab bertanding supaya mematuhi Garis Panduan Isu Peraturan Bola Sepak Berkaitan Covid-19 yang dikeluarkan FIFA pada 7 April lepas, serta Statut FIFA dan Statut FAM.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa FAM menubuhkan satu unit khas melibatkan kakitangan Sekretariat Agung FAM daripada Unit Undang-Undang, Unit Pelesenan Kelab, Unit Pertandingan dan Unit Sains Sukan untuk berhubung dan berkomunikasi dengan mana-mana ahli gabungan dan kelab, pemain dan pegawai bagi membantu dari segi proses dan pelaksanaan garis panduan itu.
Beliau berkata unit khas itu turut menyelaras maklumat dan tatacara operasi piwai (SOP) berkaitan Covid-19 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), serta berhubung dengan FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai rujukan bagi apa-apa perkara dan tindakan yang dibuat.
“Untuk itu, FAM berharap agar semua pihak terutamanya pemain dan pegawai dapat memahami situasi semasa dihadapi negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lebih sebulan lalu yang memberi kesan kepada kelangsungan kewangan pasukan atau kelab beraksi dalam Liga Malaysia 2020,” katanya.
Sebelum ini, FAM memberi tempoh dua minggu dari 9 hingga 22 April kepada pasukan Liga-M berhubung persetujuan bersama antara pemain dan pegawai pasukan masing-masing mengenai status penggajian dalam kontrak.
Badan induk itu kemudian mengambil langkah susulan dengan meminta pengendali Liga-M, iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) supaya mengadakan perbincangan bersama dengan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengenai kaedah terbaik dalam membantu pemain menangani kesan kewangan pasukan susulan penularan wabak Covid-19.
– BERNAMA