SHAH ALAM, 11 MEI: Pihak Pengurusan Glenmarie Golf & Country Club (GGCC) Shah Alam menafikan dakwaan mengenai kelab dikuarantin susulan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan kakitangannya.
Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia memaklumkan GGCC telah menegaskan sejak ia dibuka semula 6 Mei lalu pihaknya mematuhi tatacara operasi piawai.
“Difahamkan pihak GGCC telah mengamalkan penjarakan sosial dan membersihkan premis serta peralatan bagi menyediakan persekitaran selamat. Justeru, berita yang tular di media sosial adalah sama sekali tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menafikan dakwaan bahawa pergerakan antara daerah di negeri itu tidak memerlukan kebenaran polis.
Sebaliknya, beliau menjelaskan Sarawak masih menguatkuasakan larangan pergerakan antara daerah dan polis akan terus mengadakan sekatan jalan raya di sempadan daerah.