Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya jemaah lelaki disyorkan solat di masjid

SHAH ALAM, 14 MEI: Hanya jemaah lelaki disyor menunaikan solat jemaah di masjid selepas kerajaan memberi kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Disyorkan buat masa ini hanya jemaah lelaki sahaja, Insya-Allah doakan supaya hal ini (Covid-19) selesai dengan cepat supaya kita dapat kembali seperti biasa dengan norma baru dalam ibadah,” kata menteri hal ehwal agama pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mengingatkan pihak berkuasa agama di setiap negeri mewujudkan kaunter di pintu masuk bagi memastikan bilangan jemaah dapat dihadkan.

Beliau turut meminta pemeriksaan suhu badan dibuat, menyediakan cecair pembasmi kuman serta mengambil rekod kehadiran jemaah.

“Ahli jemaah wajib membawa kad pengenalan diri. Jika gagal, mereka perlu diarah pulang. Pintu masjid pula akan dibuka sejam sebelum azan dan ditutup selepas tamat bacaan doa.

“Penggunaan tandas juga perlu dihadkan mengikut jumlah tandas yang ada pada satu-satu masa,” katanya.