Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tidak paksa semua perniagaan dibuka esok

SHAH ALAM, 3 MEI: Kerajaan tidak memaksa pemilik sektor perniagaan untuk membuka operasi mereka esok, namun ia terpulang atas pilihan masing-masing, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata, bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) esok tidak bermakna setiap operator sektor perniagaan mesti membuka semula operasi mereka serta-merta.

“Terpulang kepada mereka (pemilik perniagaan) jika rasa belum sedia atau tidak sesuai lagi beroperasi, tak perlu buka lagi operasi perniagaan.

“Begitu juga pemilik restoran, kita benar buka dan makan dalam restoran dengan tatacara operasi piawai (SOP), namun jika pemilik masih meragui dari segi keselamatan, mereka boleh teruskan konsep bungkus sahaja,” katanya pada sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata orang ramai pula jika merasakan tiada keperluan untuk keluar atau masih bimbang dengan keselamatan, mereka boleh terus duduk di rumah.

“Pakar perubatan kata vaksin (Covid-19) belum diperoleh dan virus ini akan ada sekurang-kurangnya dua tahun lagi, jadi tak mungkin kita buat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun.

“Bagaimanapun, setiap individu bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri. Kawalan kendiri paling penting bagi pastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat sekitar kita.

“Saya ambil contoh Taiwan tidak pernah buat PKP atau kawalan pergerakan, tetapi hanya ada enam kematian dan antara kes positif paling rendah di dunia. Disiplin rakyat yang menentukan mereka selamat daripada dijangkiti,” katanya.