Categories
PBT SELANGOR

Kilang operasi secara haram, EXCO beri amaran keras

SHAH ALAM, 9 MEI: Selangor memberi amaran kepada semua pengusaha kilang tanpa lesen di negeri ini untuk menghentikan operasi atau berdepan tindakan tegas.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) akan tetap melakukan pemantauan di sebalik kesibukan menangani wabak Covid-19.

“Walaupun kini memasuki peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKPB Diubahsuai di Selangor, kilang sisa plastik tetap diharamkan seperti sebelum ini.

“Kilang yang tidak mempunyai lesen, pelan bangunan, Kebenaran Merancang serta Laporan Kajian Impak Alam Sekitar dari Jabatan Alam Sekitar harus disita,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han turut menyarankan orang awam membuat laporan segera jika mendapati ada kilang plastik haram beroperasi di kawasan mereka.

“Kerjasama antara PBT dan orang awam sangat penting dalam membanteras kegiatan yang akan menjejaskan kehidupan orang awam,” katanya lagi.

Semalam, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyita sebuah kilang kitar semula plastik yang beroperasi secara haram selepas menerima aduan orang ramai.