KUALA LUMPUR, 5 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan tempoh pengurangan kes sejak seminggu dua ini untuk menyusun semula strategi baharu dari segi gerak tenaga kerja dan operasi dalam menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes selepas ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tempoh ini juga akan digunakan sebaiknya untuk memberi rehat kepada petugas barisan hadapan KKM yang selama ini bekerja keras sejak lima bulan yang lepas.
“Barisan hadapan kesihatan dan petugas KKM bekerja siang malam sejak lima bulan lepas, tidak kenal erti hari minggu atau hari kerja. Hasil pengorbanan ini kes positif Covid-19 semakin berkurang.
“Mereka di Wad ICU (Unit Rawatan Rapi) dan pusat kuarantin juga semakin kurang sejak seminggu dua ini dan ini masa terbaik untuk beri time off kepada warga kerja KKM dan beri kaunseling supaya mereka dapat terus bertahan kalau ada berlaku peningkatan kes.
“Kami bersedia untuk sebarang kemungkinan yang lebih buruk namun mengharapkan yang terbaik,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.
– BERNAMA