KUALA LUMPUR, 1 MEI: Lesen memandu Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) yang digunakan oleh pemegang kad UNHCR, tidak sah untuk memandu apa juga jenis kenderaan motor di Malaysia.
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ia selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JPJ sentiasa komited dalam memastikan kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara dan tidak sesekali berkompromi terhadap apa jua pelanggaran peraturan jalan raya yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPJ lagi, kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam telah menjelaskan bahawa pemegang kad UNHCR tidak mempunyai sebarang status, hak dan asas untuk mengemukakan sebarang tuntutan kepada kerajaan Malaysia.
– BERNAMA