Categories
PBT SELANGOR

MBSA terus pantau walau syarat PKP dilonggar

SHAH ALAM, 2 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus membuat pemantauan meskipun terdapat kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad berkata operasi dan pemantauan akan berjalan setiap masa bagi memastikan orang awam mematuhi arahan kerajaan.

“Pemantauan akan tetap diteruskan seperti sebelum ini. Tiada kelonggaran dalam tugasan hingga 12 Mei nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja semalam berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya, restoran dibenarkan beroperasi dengan syarat mematuhi SOP perniagaan, kebenaran aktiviti sukan luar seperti badminton atau tenis tanpa penonton, joging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang dengan syarat mengamalkan penjarakan sosial.