Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Permintaan trafik udara dijangka pulih berperingkat

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Walaupun trafik udara mengalami penurunan ketara sebanyak 98.4 peratus tahun ke tahun pada April berikutan pandemik Covid-19, namun permintaannya dijangka pulih secara berperingkat pada separuh kedua tahun ini.

MIDF Bhd menerusi nota penyelidikan berkata meskipun trafik penumpang pada Januari hingga April 2020 hanya merekodkan 26.3 peratus daripada jangkaan setahun penuh, namun ia optimis dengan pendapatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memandangkan jangkaannya tidak berubah.

“Secara kumulatif, trafik penumpang di lapangan terbang di Malaysia bagi empat bulan pertama 2020 mencatat penurunan 45.8 peratus tahun ke tahun kepada 18.6 juta.

“Angka itu merangkumi 26.3 peratus daripada anggaran pertumbuhan trafik penumpang bagi tahun kewangan 2020 iaitu 70.7 juta,” menurut MIDF.

Ia berkata susulan penggantungan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istanbul (ISGA) bagi keseluruhan April 2020, keadaan berbeza akan dilihat pada Mei.

MIDF berkata ini kerana lebih banyak penerbangan kargo dan sewa khas dijangka dilaksanakan pada bulan itu, dengan Pegasus dan Turkish Airlines merancang untuk memulakan kembali operasi mulai 28 Mei, 2020 dan seterusnya.

MAHB merupakan pemegang saham utama ISGA dan pendapatan positif dari lapangan terbang itu akan menyumbang kepada pendapatan syarikat.

“Trafik domestik bagi lapangan terbang di Malaysia pada April 2020 masih berada dalam aliran menurun, merosot 97.8 peratus tahun ke tahun kepada 97 penumpang, terkesan susulan penguatkuasaan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata MIDF.

Ia berkata bagaimanapun susulan PKP Bersyarat (PKPB) dijadual berakhir pada 9 Jun yang akan memulihkan semula keadaan itu, syarikat penerbangan tempatan juga telah memulakan kembali penerbangannya bagi laluan domestik penting dengan kekerapan minimum mulai 29 April lepas.

MIDF berkata syarikat penerbangan bersedia menambah penerbangan dengan kebenaran kerajaan untuk membolehkan lebih banyak pergerakan sempadan antara negeri berlandaskan garis panduan perjalanan yang ketat.

“Berasaskan unjuran positif ini, kami mengekalkan harga sasaran kami pada RM5.13 sesaham,” menurutnya.

MAHB mengendalikan kebanyakan lapangan terbang di Malaysia bersama pemegang saham utama lain iaitu Khazanah Nasional Bhd (33.21 peratus), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (14.62 peratus) dan Amanah Saham Nasional Bhd (1.84 peratus)

-BERNAMA