Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Susun semula rutin harian, elak jadi murung

SHAH ALAM, 2 MEI: Orang ramai dinasihatkan menyusun semula jadual dan melakukan rutin harian yang bermanfaat di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung masalah kemurungan.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata pelaksanaan PKP sejak lebih sebulan lalu mengubah semua aktiviti yang kebiasaan dilakukan oleh masyarakat sebelum ini.

“Sebelum PKP, mungkin rutin terbentuk secara tidak langsung seperti bangun, pergi kerja, buat kerja, balik kerja, luang masa untuk keluarga dan tidur, tetapi sekarang kita sendiri yang kawal.

“Jadi, susun jadual dan buat rutin. Jangan biarkan mental anda terawang-awang dan cuba sehabis baik untuk ikut jadual. Tidak mengapa apabila ada masanya terlanggar jadual, ia tidaklah janggal (kerana) yang penting, mental anda dapat lepas daripada sebahagian beban dalam tempoh PKP ini,” tulis STFC di Facebook hari ini.

Menurut STFC lagi, kajian berkaitan pengalaman trauma turut menggalakkan orang ramai untuk menjaga rutin setiap hari bagi mengelakkan seseorang itu cepat bosan terhadap sesuatu perkara.

“Makan pada waktu selalu kita makan, tidur, berjalan dan bersenam pada waktu kebiasaan serta kekalkan hubungan sosial walaupun secara jauh atau virtual (maya).

“Masa yang tidak disusun akan membuatkan kita lebih mudah untuk bosan dan gemuruh (dan) itu boleh membawa kepada cara mencegah yang tidak sihat,” tambah STFC.