KUCHING, 2 MEI: Sarawak memutuskan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan membuka semula aktiviti dan sektor ekonomi tertentu Isnin ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC), Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini berkata keputusan di bawah tiga fasa terakhir PKP akan dikekalkan sehingga kajian kerajaan negeri mengenai implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi selesai.
“Dengan mengambil kira keadaan di Sarawak dari segi kes Covid-19, kemampuan logistik, kemampuan Jabatan Kesihatan dan keadaan geografi, SDMC mendapati kebanyakan standard pematuhan pembukaan semula kegiatan ekonomi tidak kondusif di negeri ini,” katanya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata SDMC perlu memastikan pembukaan semula kegiatan dan sektor ekonomi sesuai dengan keadaan negeri dan pembukaan semula kegiatan ekonomi akan diumumkan secara berperingkat setelah setiap perincian tatacara operasi piawai (SOP) dan garis panduan diteliti.
“Selain itu, pihak yang telah mendapat kelulusan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) semasa PKP empat, mereka perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri melalui SDMC untuk diteliti permohonan mereka sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.
– BERNAMA