Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tujuh rumah di Taman Kelab Ukay retak, 40 penduduk terjejas

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Penghuni tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di sini, diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat tersebut, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.21 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian pada 2.33 pagi.

“Seramai 40 penghuni di tujuh rumah berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan terdapat keretakan di bahagian belakang rumah mereka,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata setakat ini semua penghuni tidak dibenarkan berada di kediaman masing-masing sehingga pihak berkuasa tempatan memutuskan tindakan selanjutnya.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku susulan hujan berterusan yang mengakibatkan pergerakan tanah.

– BERNAMA