Categories
PENDAPAT RENCANA

100 hari PKP: Berjayakah Malaysia kekang Covid-19?

Oleh Norshazlina Nor Azman

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Pada 25 Jun tepat 100 hari selepas kali pertama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan 18 Mac lepas.

Persoalannya adakah Malaysia, tidak kiralah rakyat, kerajaan dan barisan hadapan sudah berjaya berikutan langkah ini atau setidak-tidaknya mampu mengekang pandemik maut Covid-19 menjadi lebih buruk?

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengehadkan pergerakan orang ramai untuk keluar rumah, yang turut menyaksikan semua premis di dalam negara terpaksa ditutup kecuali bagi perkhidmatan penting.

Selepas Malaysia melalui tiga fasa PKP termasuklah PKP Bersyarat (PKPB) dari 4 Mei hingga 9 Jun sebelum diganti dengan PKP Pemulihan (PKPP) yang sedang berjalan, berdasarkan ranking dunia, Malaysia kini berada di tangga ke-69 dari 187 negara yang terlibat dengan penularan wabak itu, berbanding tangga ke-17, sehari selepas PKP diumumkan.

Pada 24 Jun, kes baharu Covid-19 kekal mencatatkan satu angka iaitu enam kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 244 kes dan dengan pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia 8,596 kes, serta sifar kematian menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

Jumlah kes positif terendah dicatatkan pada 10 Jun lepas iaitu hanya dua kes dan ia mungkin petanda baik yang negara berada di landasan betul yang pada mulanya untuk meratakan lengkung jumlah jangkitan, menuju sifar kes sekali gus bebas daripada Covid-19.

Pengorbanan Barisan Hadapan

Anggota perubatan dan kesihatan misalnya terpaksa bekerja syif panjang, siang dan malam sejak lima bulan lalu, tatkala kes pertama Covid-19 dilaporkan di dalam negara iaitu pada 25 Januari, membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Sepertimana orang awam, petugas kesihatan juga tidak lepas daripada rasa takut dan khuatir, malah ramai jururawat mahupun doktor menceritakan ‘azab’ memakai pakaian pelindung diri (PPE), selain ada yang langsung tidak bertemu dan memeluk anak kerana risau kemungkinan memindahkan virus tersebut kepada mereka.

Seramai 416 kakitangan Kementerian Kesihatan juga dijangkiti dengan wabak tersebut, iaitu 80 peratus daripada mereka mendapat jangkitan itu dari luar kemudahan kesihatan, manakala kira-kira 20 peratus lagi jangkitan daripada pesakit dan rakan sekerja.

Berbulan lamanya anggota pasukan keselamatan beruniform biru dan juga yang berceloreng tentera menjalankan rondaan misalnya di kawasan perumahan, selain berpanas berhujan tanpa mengira masa di sekatan jalan raya bagi menahan mereka yang tidak mempunyai justifikasi untuk keluar rumah.

Malah Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas menjaga kawalan sekatan jalan raya akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala seorang lagi cedera parah selepas khemah operasi runtuh disebabkan angin lintang dan hujan lebat.

Tidak ketinggalan agensi penguatkuasaan lain antaranya Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen yang bekerja keras memastikan perang ke atas pandemik ini berjaya.

Operasi demi operasi juga menyaksikan ramai pendatang asing tanpa izin ditahan, kes jenayah di dalam negara juga berkurangan kerana keberadaan anggota penguat kuasa di mana-mana, selain kawalan persempadanan juga terus diperketatkan bagi mengelak negara dibolosi melalui ‘lorong tikus’.

Pematuhan SOP

Sepanjang PKP juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga ‘Jeneral Perang’ – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak jemu menyampaikan pengumuman terbaru, apa yang boleh, larangan dan nasihat kepada rakyat agar mematuhi undang-undang.

Mereka juga mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan pendekatan kebiasaan baharu, ini tidak lain untuk memutuskan sama sekali rantaian jangkitan Covid-19 dan membebaskan rakyat Malaysia daripada virus maut itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas tidak lupa merakam penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, selain mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang terus mematuhi SOP dalam menjalankan aktiviti harian sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

Sepanjang fasa PKP juga, pelbagai bantuan dan kemudahan telah diberikan kerajaan termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bertujuan untuk mengurangkan beban hidup serta sebagai rangsangan ekonomi.

Apapun, semua pihak harus terus berhati-hati , tidak mengambil mudah walaupun sudah banyak kelonggaran diberi kerajaan, saling mengingati antara satu sama lain mengenai SOP dan peraturan supaya Malaysia tidak kembali mencatat peningkatan kes dan akhirnya bebas daripada Covid-19. Ayuh Malaysia! Buktikannya!

-BERNAMA