Categories
AGENDA NASIONAL

614 mangsa banjir di sepuluh pusat pemindahan di Johor

JOHOR BAHRU, 23 JUN: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat sedikit pagi ini dengan seramai 614 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 607 orang, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R.Vidyananthan berkata, setakat 8 pagi ini, kesemua mereka yang melibatkan 156 keluarga di Muar, Batu Pahat dan Pontian itu, berada di 10 PPS.

Beliau berkata, berlaku sedikit pertambahan mangsa yang dipindahkan ke PPS di Muar dan Batu Pahat malam tadi, manakala di Pontian, tidak berubah.

“Setakat pagi ini, seramai 229 orang daripada 64 keluarga berada di empat PPS di Muar, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, SK Orang Kaya Ali, SK Batu 18 dan SK Parit Bulat, manakala 183 orang daripada 39 keluarga berada di tiga PPS di Batu Pahat iaitu SK Peserai, Sekolah Agama 3 Serangkai dan SK 3 Serangkai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata di Pontian, seramai 202 orang daripada 53 keluarga berada di tiga PPS, iaitu SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian serta SK Kampung Melayu Raya.

Banjir di beberapa daerah di negeri ini berlaku sejak Sabtu lepas, apabila beberapa kawasan rendah dinaiki air berikutan hujan lebat melebihi kadar biasa ditambah fenomena air pasang.

Sementara itu, hujan lebat berterusan dapat dilihat di beberapa daerah sejak 6 pagi tadi.

-BERNAMA