Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir: Kerajaan PAKATAN pilihan rakyat yang sah

SHAH ALAM, 2 JUN: Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan kerajaan Pakatan Harapan sebagai pilihan rakyat yang sah.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menyeru ahli parti berkenaan supaya tidak tunduk terhadap kerajaan yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan yang ada sekarang bukan pilihan rakyat. Kerajaan yang sah dan hak adalah Pakatan Harapan. Kembalikanlah mandat rakyat,” kata kenyataan tersebut.

Empat lagi pemimpin yang menandatangani kenyataan ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.

Mereka turut menyeru ahli parti itu supaya tidak membelakangkan sifat mulia semata-mata demi kepentingan diri hingga mengabaikan amanah dan maruah.

“Pegang kuatlah kepada janji kita kepada rakyat dan janganlah salah guna kuasa yang mereka beri kepada kita,” kata mereka menerusi kenyataan tersebut.

Kelima-lima pemimpin juga menegaskan mereka masih ahli dan tidak pernah keluar Bersatu atau menyertai parti lain sekalipun duduk di blok pembangkang pada sidang Parlimen Mei lalu.

Kenyatan itu menyebut mereka memilih berada di blok tersebut kerana tidak menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin yang memungkiri mandat rakyat kepada Pakatan Harapan.