Categories
PENDAPAT RENCANA

Hikmah pandemik Covid-19, corak kembali hala tuju pendidikan

Tidak ada dakwa-dakwi lagi pembelajaran dalam talian (e-pembelajaran) adalah kaedah pendidikan kini dan masa depan. Saat wabak Covid-19 menular, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi memutus perebakan pandemik, sebahagian besar aktiviti diumumkan tutup termasuk sekolah.

Dua minggu pertama tidak punya beza kerana bersamaan dengan cuti sekolah, namun fasa seterusnya pasti mula meresahkan ibu bapa dan guru lebih-lebih lagi untuk anak-anak yang akan menduduki peperiksaan besar seperti SPM dan STPM.

Maka Kementerian Pendidikan pun melaksanakan pembelajaran di televisyen, selepas itu diperkenalkan landasan pembelajaran MPE-DL yang menyediakan pautan kepada Google Classroom dan Microsoft Teams, selain buku teks digital, video dalam talian EduWebTV dan CikgooTube serta aplikasi seperti Edpuzzle, Quizzz dan Kahoot. Di samping itu, sekolah-sekolah swasta turut melaksanakan pembelajaran dalam talian mengikut pelantar masing-masing.

Selangor pula menambah inisiatif dengan memperkenalkan Selangor Tutor dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 2. Selangor Tutor untuk penggunaan dalam talian para pelajar seluruh negeri. Sehingga kini lebih 81,000 pelajar dari darjah 1 hingga tingkatan 5 dan lebih 2.65 juta soalan telah dijawab oleh peserta.

Peluang teliti semula sistem pendidikan

Namun, untuk mengatakan bahawa pembelajaran dalam talian adalah penyelesaian kepada masalah pendidikan pasca Covid-19 merupakan suatu kejulingan yang besar.

Apakah cukup setakat itu usaha kita untuk mendidik anak bangsa? Bagaimana dengan aspek lain yang di luar daripada kurikulum sekolah seperti proses sosialisasi, contohnya? Selain daripada cabaran yang jelas seperti ketidakmampuan kewangan, jurang digital serta tiadanya kesetaraan digital dan sebagainya, banyak lagi sisi yang mungkin kita terlepas pandang.

Guru Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah Jasin, Melaka Salman Samat, 35, mendengar hafazan murid ketika belajar dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumahnya di Taman Bukit Setongkol pada 2 Mei 2020. Foto BERNAMA

Mari kita berhenti sejenak dan merenung kembali realiti pandemik yang sedang kita gagahi saat ini. Memandangkan cahaya di hujung terowong masih belum kelihatan, kita harus bersedia untuk melalui saat-saat norma baharu ini dengan lebih lama kerana ia adalah suatu proses panjang (long haul).

Yang nyata, wabak ini telah memberikan kita kesempatan yang jarang-jarang kita dapatkan: peluang untuk turut sama melakukan ‘great reset’ kepada sistem pendidikan kita.

Pertamanya, saat ini mungkin adalah saat terbaik untuk kita meninggalkan pedagogi berorientasikan peperiksaan. PKP mengajar kita untuk melihat semula kesan pembelajaran yang terlalu bertumpu kepada hafalan atau ‘rote learning’.

Banyak data dan kajian terbaharu yang menunjukkan kelemahan kaedah pembelajaran seperti ini dan menganjurkan kaedah-kaedah lain (termasuk yang lebih radikal seperti kaedah ‘main-main’ seperti di negara-negara Scandinavia). Wabak ini memberi kita peluang untuk meneliti semula sistem penilaian dalam bentuk lain yang mungkin bersifat lebih menyeluruh.

Aspek-aspek lain IR4.0 seperti kemanusiaan juga perlu diteroka dan diperkukuhkan. Kalau kita hayati semula Falsafah Pendidikan Negara yang sangat muluk, yang mahu dilahirkan adalah manusia yang seimbang dan bukan menghasilkan robot. Justeru, yang perlu diutamakan adalah kemahiran berfikir dan kemahiran hidup (critical thinking and life skills). Hasilnya adalah para pelajar yang tangkas dan mampu menyesuaikan diri (adaptive) dan bukan generasi yang manja dan malas.

Kolaborasi peranan guru dan ibu bapa

Peranan guru memang tidak perlu diperdebatkan. Seperti yang tercermin dengan jelas dalam filem Sang Pemimpi sekadar menyebut satu contoh, guru yang berkaliber dan bersemangat sangat perlu dalam pembinaan sahsiah dan wawasan hidup seseorang murid dan berbekas lama setelah bangku sekolah ditinggalkan.

Barangkali sedikit perubahan paradigma dalam profesion perguruan perlu dilaksanakan. Mungkin reformasi dalam proses pengambilan guru dapat membantu, contohnya.

Wabak Covid-19 turut memaksa lebih ramai ibu bapa untuk bekerja dan duduk di rumah. Ini membolehkan mereka mengikuti dengan dekat pembelajaran anak masing-masing dan dapat menyaksikan sendiri prestasi anak mereka. Sinergi antara ibu bapa dengan guru yang lebih kolaboratif sebegini terlihat lebih berkesan berbanding dengan acara tahunan PIBG yang kadang-kadang melebihkan cabutan bertuah. Dan keberkesanan ini lebih jelas dalam pengendalian aplikasi Google Classroom, Telegram sebagai contoh yang memerlukan peranan kedua-dua ibu bapa (atau keluarga) dan guru.

Kanak-kanak di Taska Si Comel Perbadanan Putrajaya diajar mematuhi penjarakan sosial ketika bermain atau belajar bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak ketika tinjauan di taska tersebut pada 3 Jun 2020. Foto BERNAMA

Pun begitu, ibu bapa harus mempunyai kesedaran yang jelas bahawa isu pendidikan adalah isu yang besar; semua harus ambil maklum bahawa pembelajaran adalah lebih luas dari sekolah dan dunia sekolah.

Dan di situ adalah antara perkara yang harus kita tanggapi semula tentang e-pembelajaran; hanyalah salah satu wadah seperti mana penggantian papan hitam dengan papan putih dan kemudiannya OHP dan slaid Powerpoint.

Ia juga bukan soal infrastruktur semata-mata. Sudah pasti menjadi tanggungjawab pihak berwajib untuk menyediakan capaian komunikasi untuk mereka yang di luar bandar.

Seperkara lagi: proses sosialisasi perlu kekal wujud dalam e-pembelajaran kerana interaksi dalam talian pasti berbeza dengan disiplin dan punya ‘penyakitnya’ yang tersendiri. Hanya ikatan sosial yang kukuh mampu mengisi capaian serta ‘kerinduan’ (reach and longingness) sesama murid dan sejenis ‘kehangatan’ kepada guru. Dan pengalaman sosialisasi sebegini mampu menjadikan seseorang lebih kuat mentalnya dan berdaya tahan dalam melalui fasa kehidupan seterusnya seperti alam pekerjaan dan perkahwinan-perceraian, contohnya.

Di situlah ruang yang perlu kita fikirkan jalan keluarnya. Dan kita perlu lakukannya dengan cepat; jangan sampai satu kelompok ‘angkatan pelajar PKP’ tercicir—lebih-lebih lagi kadar kelahiran dijangka melonjak naik dengan drastik hasil daripada PKP.

Akhir kata, wabak Covid-19 mengajar kita untuk kembali berfikir hala tuju pendidikan negara saat ini. Turut menjadi pertimbangan adalah keperluan pendidikan sivik yang menghasilkan warga yang baik dan mampu berdikari. Pengajaran terbesar di bawah PKP adalah bagaimana mengalami kehidupan penuh cabaran ini lebih kreatif dengan minda yang stabil.

Kenyataan Dato’ Menteri Besar pada 3 Jun 2020