PETALING JAYA, 27 JUN: Kerajaan Selangor disaran mempertimbang inisiatif jangka panjang kepada penggiat seni bagi memastikan kehidupan golongan itu terjamin, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku.
Lim Yi Wei berkata langkah itu dapat menjaga kebajikan penggiat seni pada masa hadapan.
“Jika Kerajaan Negeri ada kelonggaran dari segi belanjawan, saya berharap dapat lakukan inisiatif membantu penggiat seni di negeri ini,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Yi Wei bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat komposer veteran, Datuk Ooi Eow Jin yang terlantar akibat penyakit Alzheimer.
Yi Wei turut menyumbangkan bantuan RM4,000 sebagai penghargaan kepada komposer kelahiran George Town, Pulau Pinang berusia 82 tahun itu.
Eow Jin dan anaknya Raymond, 56, yang turut terlantar akibat ketumbuhan di kepala kini dijaga oleh isterinya, Datin Khaw Lean Kee.