Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

KKM: Banyak sektor boleh dibuka jika kes baharu kekal satu digit

SHAH ALAM, 2 JUN: Lebih banyak sektor boleh dibuka sekiranya kes baharu positif Covid-19 di negara ini terus kekal kepada satu digit, kata ketua pengarah kesihatan.

“Jika dilihat pada kes hari ini, terdapat 20 kes baharu tetapi penularan tempatan hanya melibatkan lima kes dengan dua daripadanya warganegara dan tiga warga asing.

“Jika kita (Malaysia) berjaya terus kekal dengan satu digit kes baharu dan tiada peningkatan secara mendadak pasca Aidilfitri, maka perlu untuk membuka lebih banyak sektor lain,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Namun, beliau terus mengingatkan supaya rakyat kekal patuh dengan menjaga jarak sosial sekiranya sektor lain dibuka.

“Hanya kepatuhan warga asing yang kita masih bimbang, oleh itu Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara bagi mencari penyelesaian,” katanya.