Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KP Kesihatan: Kebolehjangkitan Covid-19 warga tahfiz sekitar 4.1 peratus

PUTRAJAYA, 15 JUN: Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga tahfiz sekitar 4.1 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, hasil saringan dan ujian pengesanan Covid-19 membabitkan 17,477 sampel di 429 pusat tahfiz di seluruh negara setakat ini mendapati hanya 718 kes positif.

Mengulangi nasihat agar masyarakat tidak memberikan stigma negatif berhubung penularan wabak dalam kalangan pelajar tahfiz, beliau berkata sekolah atau pelajar tahfiz adalah satu daripada kumpulan sasaran yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, kita kenal pasti saringan membawa kepada 4.1 peratus kadar jangkitan. Kita bukan nak stigmakan mereka, tetapi kita nak pastikan mereka tiada virus itu.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 12 Jun 2020. Foto BERNAMA

“Ini kerana 120 pusat sekolah tahfiz dikunjungi oleh jemaah tabligh (kluster Sri Petaling),” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 semalam.

Kluster Sri Petaling yang terdiri daripada jemaah tabligh dan mencetuskan gelombang kedua Covid-19 negara adalah kluster terbesar serta menjangkiti lima generasi.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menafikan maklumat yang tular di Facebook mengenai seorang kanak-kanak dari Kampung Huma, Alor Setar, Kedah didakwa positif Covid-19 selepas dijangkiti oleh saudaranya yang pulang ke kampung dari Negeri Sembilan.

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah melalui Facebook rasminya turut menafikan perkara tersebut.

Berhubung keselamatan makanan, Dr Noor Hisham berkata tiada laporan bahawa Covid-19 boleh disebarkan melalui pengambilan makanan.

“Setakat ini, tiada isu berkaitan ikan kerana apabila kita masak, kita tidak gusar dengan jangkitan virus kerana haba panas masakan membunuh virus berkenaan.

“Saya rasa tiada laporan berhubung jangkitan menerusi pengambilan makanan, yang lebih penting ialah kita mengambil semua langkah berjaga-jaga dan terus mengekalkan kebersihan diri,” katanya.

Mengenai pemantauan larangan merokok, Dr Noor Hisham berkata KKM sentiasa memantau perkara itu.

“Tetapi apa yang KKM perlukan ialah kerjasama daripada rakyat Malaysia dan tuan kedai untuk pastikan pengunjung tidak merokok di restoran,” katanya.

-BERNAMA