Categories
AGENDA NASIONAL

Najib, Arul Kanda mengaku tidak bersalah pinda laporan audit 1MDB

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggiterhadap pertuduhan pindaan membabitkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Najib, 67, dan Arul Kanda, 44, masing-masing mengangguk faham dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Hakim itu mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan kepada kedua-dua tertuduh selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadap mereka.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan perkataan “yang telah disediakan” dalam pertuduhan sebelum ini ditukar kepada “yang telah dimuktamadkan” dan juga perkataan “sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan” (dalam pertuduhan sebelum ini) ditukar kepada “sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula”.

Mengikut pertuduhan pindaan, Najib selaku perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan sivil atau jenayah berkaitan peranannya di dalam perjalanan operasi syarikat 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengarahkan Laporan Pengauditan 1MDB yang dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan semula dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), yang mana Najib secara langsung mempunyai kepentingan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan engikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam meminda laporan berkenaan bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman sama, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA