Categories
EXCO SELANGOR

NGO digalak bimbing golongan B40 di bandar bertani

PUCHONG, 20 JUN: Badan bukan kerajaan (NGO) dialu-alukan untuk memberi bimbingan pertanian kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang tinggal di kampung dalam bandar, kata EXCO kebajikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia membolehkan tanah dimilik dapat dimanfaatkan dengan aktiviti penanaman bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi golongan berkenaan.

“Mereka ada tanah sendiri dan boleh bela ikan atau bercucuk tanam untuk tampung pendapatan namun perlukan mentor bagi menyuntik motivasi ke arah itu.

“Maka NGO perlu datang dan lihat apa yang ada di persekitaran masyarakat supaya peluang tidak disia-siakan,” katanya selepas program Jom Jelajah Kampung Dalam Bandar MPSJ di Kampung Tengah Puchong di sini hari ini.

Beliau berkata taraf hidup golongan berkenaan perlu ditingkatkan walaupun memiliki akses mudah kerana dikelilingi kemajuan dan peluang pekerjaan.