Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: JAS periksa 5,439 premis, 330 kilang dikenakan tindakan

RAWANG, 23 JUN: Jabatan Alam Sekitar telah mengambil tindakan terhadap 330 kilang atas pelbagai kesalahan, selepas memeriksa 5,439 premis dalam operasi yang dijalankannya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga semalam, termasuk terhadap tiga kilang memproses kelapa sawit yang didapati mencemarkan bekalan sumber air.

Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar berkata lesen ketiga-tiga kilang itu telah ditarik, manakala tindakan kompaun, menggantung lesen dan penahanan operasi kelengkapan dilakukan terhadap premis lain yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Antara kesalahan didapati dilakukan pemilik kilang ialah tidak melabel buangan terjadual dan ada juga kilang semasa PKP telah mencemarkan bekalan sumber air,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Ops Gempur Selangor, Norlin berkata 49 kilang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana melakukan kesalahan di bawah akta sama.

Katanya operasi berkenaan yang melibatkan 125 anggota penguatkuasaan JAS dijalankan pada 16,18 dan 23 Jun dengan memfokuskan pemeriksaan terhadap 120 kilang di kawasan Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor.

Beliau berkata ia bertujuan mencegah pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada operasi pengilangan daripada pelbagai jenis industri antaranya plastik, kimia, logam dan tekstil.

“Operasi ini dijalankan dengan mematuhi tatacar operasi piawai (SOP) dan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengawal penularan Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Norlin memohon kerjasama orang ramai supaya menjadi mata dan telinga JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar dengan menelefon 1-800-88-2727 atau membuat laporan menerusi e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

– BERNAMA