Categories
EXCO SELANGOR

PKPP: Jangan terlalu teruja, waspada ancaman Covid-19

SHAH ALAM, 8 JUN: Rakyat diingatkan supaya terus berwaspada dan tidak terlalu teruja dengan lebih banyak kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana ancaman Covid-19 masih wujud ketika ini.

EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata amalan pencegahan yang dipraktikkan sebelum ini perlu dikekalkan sehingga menjadi norma baharu dalam kalangan masyarakat demi keselamatan semua.

“Kebenaran kerajaan untuk tempoh kelonggaran ini sangat dinantikan rakyat.

“Namun, tetap menjadi kebimbangan Kerajaan Negeri akan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh semua pihak dalam tempoh PKPP ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebarang kelalaian boleh mengakibatkan jangkitan kembali meningkat dan kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKP Diperketatkan (PKPD) atau PKP Bersyarat (PKPB).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos susulan PKPB yang tamat pada 9 Jun.

PKPP ini membolehkan lebih banyak sektor ekonomi kembali dibuka selain membenarkan orang awam merentas negeri pulang ke kampung termasuk menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha.