Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Sekolah, tahfiz dibenar buka ikut sesi persekolahan

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan membenarkan sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar dibuka semula mengikut tarikh pembukaan sesi persekolahan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah selain pelajar tingkatan lima dan enam termasuk tatacara operasi piawai (SOP) perlu dipatuhi dalam tempoh terdekat.

“Jika sekolah diumum dibuka, maka tarikh sama boleh beroperasi. Saya percaya, KPM akan umum mengenai tarikh permulaan sekolah selain calon Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Bagaimanapun, sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar sahaja dibenarkan dibuka dan mematuhi SOP. Bagi sekolah dan madrasah tahfiz berasrama mereka perlu mengikut SOP di sekolah berasrama,” kata menteri kanan (kluster keselamatan) pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata bagi sekolah dan madrasah tahfiz tidak berdaftar, pengurusan perlu membuat permohonan untuk beroperasi daripada pihak berkuasa agama negeri.

“Pada masa sama, saya menggalakkan supaya mendaftarkan sekolah dan madrasah tahfiz mereka,” katanya.