Categories
EXCO SELANGOR

Selangor benarkan rumah ibadat bukan Islam dibuka esok, fokus empat kriteria

SHAH ALAM, 18 JUN: Semua rumah ibadat selain Islam di Selangor kecuali zon merah dibenarkan beroperasi semula berkuat kuasa esok mengikut empat kriteria.

Kriteria meliputi pengunjung rumah ibadat, aturan logistik dan kapasiti maksimum, pematuhan penggunaan sistem SELangkah serta aliran pergerakan keluar masuk.

“Semua dibenarkan mengunjungi rumah ibadat kecuali individu bergejala Covid-19, warga emas, menghidap penyakit kronik serta kanak-kanak bawah 12 tahun,” kata EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud dalam sidang media di Dewan Annex hari ini.

Katanya, pegawai Covid-19 juga perlu ditempatkan untuk mengawal aliran pergerakan dan bilangan pengunjung bergantung kepada keluasan rumah ibadat.

Pada masa sama, Siti Mariah turut mengingatkan pihak pengurusan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) atau berdepan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Jika pihak berkuasa mengenal pasti rumah ibadat tidak mematuhi SOP, langkah pertama adalah memberi nasihat dan berhak menutup operasi jika kesalahan sama berulang,” katanya lagi.