Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SOP sektor dibuka semula dimuktamad dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan Negeri akan memuktamadkan tatacara operasi piawaian (SOP) sektor ekonomi yang dibenarkan kembali beroperasi di Selangor dalam kadar segera selepas mengambil kira semua aspek.

Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar berkata ia berikutan SOP dikeluarkan Kerajaan Persekutuan secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri pada dasarnya menyokong usaha pembukaan semula sektor ekonomi bagi tujuan merangsang kemajuan negara. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan SOP membuka semula beberapa aktiviti perniagaan di Selangor akan dikeluarkan selepas perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) hari ini.

Dato’ Menteri Besar memutuskan perkara tersebut selepas menerimanya menerusi Telegram rasmi Majlis Keselamatan Negara malam tadi.