Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Taman tema dibuka semula 1 Julai

SHAH ALAM, 29 JUN: Sebanyak 54 taman tema termasuk taman tema air dibenarkan beroperasi semula mulai Rabu ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata had pengunjung untuk sektor yang mempunyai lebih 10,000 pekerja berdasarkan kapasiti ruang serta saiz taman tema.

“Pengusaha perlu patuh tatacara operasi piawai (SOP) termasuk penjarakan sosial setiap masa, memeriksa suhu badan pengunjung serta menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Pengusaha juga perlu mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Penyelenggaraan Kolam Renang Awam pihak berkuasa tempatan serta Garis Panduan Pemantauan Kualiti Kolam Air,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata pengunjung perlu mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan garis panduan boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pelancongan.