Categories
AGENDA NASIONAL

1,244 individu tiba dari luar negara, seorang dibawa ke hospital

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seramai 1,244 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam, sehari sebelum kuarantin wajib di pusat ditetapkan dikuatkuasa, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Klia2 dari China, Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Kemboja, Jepun, Laos, Belanda, India dan Korea.

“Mereka diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing manakala seorang individu dibawa ke hospital.

“Bermula hari ini, semua yang pulang ke tanah air perlu menjalani proses kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan terhadap 24,701 individu di pintu masuk KLIA dan Klia2 sejak 10 Jun sehingga semalam.

“Daripada jumlah ini, 24,621 individu didapati negatif Covid-19 dan menjalani proses kuarantin wajib di kediaman manakala 80 individu didapati positif dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.