Categories
AGENDA NASIONAL

13 rakyat Malaysia di India selamat tiba di tanah air – Kamarudin

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Seramai 13 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang terkandas di India selamat tiba di tanah air semalam menerusi penerbangan Air India Express, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata mereka merupakan kumpulan ketiga yang dibawa pulang membabitkan 12 jemaah tabligh di New Delhi yang menjalani proses perundangan serta seorang jemaah tabligh di Amravati, Maharashtra yang bebas daripada sebarang pertuduhan.

“Semua jemaah tabligh berkenaan telah menjalani ujian saringan Covid-19 setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seterusnya dibawa menjalani proses kuarantin di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan pertama membabitkan 62 jemaah tiba pada 18 Julai lalu sementara kumpulan kedua dengan 40 jemaah tiba pada 22 Julai.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 berkata sehingga hari ini masih terdapat 74 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang berada di India.

“Daripada jumlah ini, 13 orang berada di New Delhi dan masih menunggu pelepasan dan kebenaran pulang daripada kerajaan India. Seramai 52 orang berada di beberapa wilayah di India (Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu, Maharashtra) dan sedang menjalani proses perundangan.

“Sementara sembilan yang lain masih berada di Kolkata, Bengal Barat dan menanti prosedur perundangan seterusnya,” kata beliau.

Wisma Putra menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India akan terus memantau secara berterusan perkembangan dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara, katanya.

“Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India juga akan dipergiatkan lagi dalam usaha memudah cara kepulangan mereka ke tanah air,” katanya

– BERNAMA