Categories
EXCO SELANGOR

Agihan bantuan makanan kepada Orang Asli selesai

HULU LANGAT, 8 JULAI: Bantuan makanan asas selesai diagihkan kepada 6,000 ketua isi rumah Orang Asli di negeri ini yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata agihan kepada 74 buah kampung meliputi beras, tepung, gula, susu dan minyak masak bernilai RM50.

“Kita memperuntukkan hampir RM300,000 untuk membantu Orang Asli yang pendapatannya terjejas susulan PKP, justeru kita harap sumbangan ini meringankan beban mereka,” katanya selepas menyerahkan kerusi dan meja kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di sini semalam.

Dalam program sama, Loy Sian turut menyerahkan bakul makanan kepada 50 warga emas Orang Asli.

Kira-kira 22,992 masyarakat Orang Asli menerima manfaat langsung bantuan Kerajaan Negeri yang disalurkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah dengan kerjasama pejabat Dewan Undangan Negeri atau penyelaras, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.