Categories
AGENDA

Air Selangor guna 91 lori tangki hantar bekalan air

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak 91 lori tangki membekalkan air bersih digerakkan ke 290 kawasan yang mengalami gangguan air sehingga Jumaat ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pergerakan lori tangki menghantar air hari ini dikhaskan ke premis kritikal seperti pusat dialisis dan hospital manakala kawasan perumahan bermula Khamis ini.

“Sembilan kerja utama utama di LRA SSP3 (Loji Rawatan Air SSP3) sedang dijalankan dan kerja penambahbaikan hanya dilakukan hari ini.

“Esok LRA SSP3 akan beroperasi seperti biasa dan dijangka kawasan terjejas akan menerima bekalan air secara berperingkat,” kata kakitangan Air Selangor melalui video siaran langsung di Facebook Air Selangor.

Menurut kakitangan itu, dijangka 48 peratus kawasan terjejas akan menerima bekalan air pada Khamis ini dan pulih sepenuhnya pada Jumaat jam 5 petang.

Bermula hari ini hingga Jumaat, kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji LRA SSP3 mulai jam 9 pagi ini.

Kerja bertujuan membolehkan loji beroperasi lebih cekap dan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.

Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan terjejas, bergantung kepada lokasi premis pelanggan.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://www.hentitugasssp3.airselangor.com/ untuk merujuk kawasan mengalami gangguan air bagi melihat peta kawasan terjejas.

Kawasan mengalami gangguan air. Foto Sumber: Air Selangor