Categories
AGENDA NASIONAL

Bayi 2020 dijangka hidup lebih lama sehingga 74.9 tahun

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Bayi yang lahir pada tahun ini dijangka boleh hidup sehingga berumur 74.9 tahun, hampir lima bulan lebih lama berbanding 74.5 tahun pada tahun 2014.

Perkara ini didedahkan dalam Jadual Hayat Ringkas, Malaysia 2018-2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan hari ini. Penerbitan itu mengandungi jadual hayat mengikut umur, kumpulan etnik dan jantina serta perbezaan mengikut negeri untuk tahun 2018-2020.

Mengulas mengenai penerbitan itu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata secara purata, jangkaan hayat bagi bayi perempuan yang lahir pada 2020 ialah 77.6 tahun, lima tahun lebih lama berbanding bayi lelaki iaitu 72.6 tahun.

“Pada 2020, lelaki dan wanita yang mencecah umur 15 tahun masing-masing dijangka hidup selama 58.4 dan 63.2 tahun,” katanya.

Beliau berkata jangkaan hayat pada umur 60 tahun meningkat iaitu lelaki dijangka hidup selama 18.4 tahun lagi manakala wanita 21.2 tahun.

Berdasarkan anggaran penduduk pada 2020, beliau berkata penduduk berusia 60 tahun dan ke atas meningkat kepada 3.5 juta orang berbanding 3.4 juta pada 2019.

Mohd Uzir berkata tiga negeri mencatatkan jangkaan hayat tertinggi untuk lelaki ialah Sarawak (74.6 tahun), Kuala Lumpur (74.5 tahun) dan Selangor (73.8 tahun) manakala bagi wanita ialah Kuala Lumpur (79.4 tahun), Pulau Pinang (78.9 tahun) dan Sarawak (78.4 tahun).

-BERNAMA