Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air 251 kawasan pulih, 39 dalam proses

SHAH ALAM, 16 JULAI: Bekalan air di 251 kawasan pulih sepenuhnya setakat 10 malam hari ini manakala 39 tempat dalam proses, kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata berdasarkan peratusan pemulihan mengikut wilayah, Kuala Langat, Gombak dan Kuala Lumpur pulih 100 peratus, Petaling (99 peratus) manakala Klang dan Shah Alam masing-masing 75 peratus.

“Secara keseluruhan, 87 peratus daripada kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual pulih sepenuhnya.

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan ke kawasan yang masih terjejas,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya memohon kerjasama pelanggan yang menerima bekalan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan kawasan terjejas berjalan lancar.

Katanya status terkini bekalan air dimaklumkam kepada pelanggan dari semasa ke semasa menerusi media massa termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com .