Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Bekalan air 26 kawasan pulih, 93 lori tangki digerak

SHAH ALAM, 15 JULAI: Agihan bekalan air di 26 kawasan membabitkan wilayah di Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Klang, Gombak dan Kuala Langat pulih sepenuhnya sehingga jam 4 petang tadi.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) berkata jumlah itu bersamaan sembilan peratus daripada keseluruhan kawasan terlibat dan 93 lori tangki air digerakkan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan klinik kesihatan.

“Sebanyak 136 tangki statik juga ditempatkan di pusat dialisis, klinik kesihatan dan juga sekolah bagi kegunaan pelajar dan guru yang mula bersekolah pada hari ini.

“Bagi bantuan bekalan air melalui lori tangki ke kawasan perumahan akan bermula esok 16 Julai,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Air Selangor menasihatkan pengguna mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semasa mengambil bekalan air di pusat khidmat setempat dan pili air awam.

Pengguna yang datang juga digalakkan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial satu meter ketika beratur malahan pili air awam dinyahkuman secara berkala untuk mengelakkan penularan wabak.