Categories
AGENSI SELANGOR

Bekalan air di Klang pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 17 JULAI: Bekalan air yang terjejas di enam kawasan di wilayah Klang pulih sepenuhnya, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesabaran pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri dalam kenyataan.

Terdahulu, pengguna di Kampung Pulau Indah, Taman Armada Putra, Taman Laguna Park, Glenn Cruise, Pulau Indah Industri Fasa 1 dan 2 berdepan gangguan bekalan air sementara berikutan insiden paip pecah di tapak projek pembinaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Indah semalam.

Dalam pada itu, Elina menyarankan pengguna memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk maklumat terkini bekalan air.

Pengguna juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor atau layari laman sesawang www.airselangor.com untuk pertanyaan dan bantuan.