Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air di lima wilayah pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 17 JULAI: Bekalan air yang terjejas di lima wilayah pulih sepenuhnya pagi ini, maklum Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama baik daripada pengguna kepada semua warga kerja Air Selangor yang bertugas sepanjang misi bantuan dijalankan,” kata Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri dalam kenyataan.

Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Langat terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual berikutan penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 pada 14 Julai lalu.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman menjangka bekalan air di kawasan terjejas pulih sepenuhnya jam 5 petang hari ini.

Maklumat terkini bekalan air boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store, media sosial atau laman sesawang www.airselangor.com