Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bekalan air hampir pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 17 JULAI: Bekalan air di kawasan terjejas pulih 99 peratus setakat 7 pagi tadi manakala empat lokasi masih dalam proses, maklum Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporatnya Elina Baseri berkata Kuala Langat, Gombak, Kuala Lumpur dan Petaling pulih sepenuhnya sementara Klang dan Shah Alam masing-masing 97 peratus.

“Sebanyak 286 bersamaan 99 peratus kawasan pulih sepenuhnya. Kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air adalah keseluruhan Taman Sentosa Klang, keseluruhan Taman Sri Andalas Klang, Jalan Raja Nong Klang dan Jalan Rajion Klang.

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepat proses pemulihan ke kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Beliau berkata status terkini bekalan air dimaklum kepada pengguna dari semasa ke semasa melalui media sosial dan laman sesawang www.airselangor.com.

Gangguan bekalan air berjadual di beberapa kawasan ekoran henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 pada 14 Julai lalu.