Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Bekas ahli tiada hak dakwa cabang KEADILAN Ampang bubar

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kelompok yang mendakwa cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Ampang terbubar tidak berhak membuat pengumuman sedemikian.

Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor, Hamidi A Hassan menegaskan mereka bukan lagi ahli parti sama ada dipecat atau digantung keanggotaan.

“Mereka yang buat kenyataan itu sebenarnya sudah tiada dalam parti, yang dipecat, digantung, diambil tindakan dan sebagainya. Juga yang sudah isytihar keluar parti.

“Rasanya mereka tiada hak mengatakan (cabang) parti ini telah tiada,” katanya ketika sidang media di Hotel De Palma Ampang petang tadi.

Beliau mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa cabang yang teguh dalam perjuangan walau segelintir ahli dan pemimpin keluar parti.

Dalam kenyataan bersama 23 AJK cabang itu hari ini, mereka menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang diumumkan segelintir bekas AJK.

Ia sebagai reaksi dakwaan bekas Naib Ketua Cabang PKR Ampang, D Nallan hari ini menyatakan yang cabang itu terbubar.