Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Bingkas, cekal resipi kejuaraan Liverpool

PERLAWANAN keempat Piala FA pada Januari 1997, Liverpool berhadapan dengan Chelsea untuk mara ke pusingan seterusnya.

Hanya 21 minit dalam separuh masa pertama, Robbie Fowler dan Stan Collymore mencetak gol sekali gus meletakkan Liverpool di hadapan dengan kelebihan 2-0.

Namun, pada separuh masa kedua impak duo Itali di Chelsea Gianfranco Zola dan Gianluca Vialli selain sumbangan pemain senior Mark Hughes telah menjadikan Chelsea menang 4-2.

Waktu itu, Liverpool berada di tangga pertama dalam kedudukan Liga Perdana Inggeris dan dalam landasan untuk menang piala pertama setelah kemarau kejuaraan tujuh tahun. Dan, selepas kalah kepada Chelsea dalam pertarungan Piala FA itu, Liverpool tersungkur, akhirnya hanya berjaya menduduki tangga keempat dalam musim itu.

Meskipun begitu, hari ini (22 Julai 2020), Chelsea mengunjungi Anfield dengan keadaan yang berbeza; berbaris ‘guard of honour’ sebagai tanda penghormatan kepada pemenang Liga Perdana Inggeris setelah 30 tahun gagal mendakap kejuaraan liga.

Jalan berliku

Menjengah sejarah 30 tahun, banyak juga peluang yang hampir-hampir Liverpool memenangi semula Liga Perdana Inggeris. Antara yang paling diingati pada musim 2013/2014 tatkala legenda moden Liverpool Steven Gerard tersilap menampan bola dan terjatuh membolehkan Demba Ba jaringkan gol sebelum ia berakhir dengan 2-0 memihak kepada Chelsea, menutup 16 kemenangan berturut-turut, dan akhirnya Manchester City dinobatkan juara meninggalkan Liverpool dengan kelebihan dua mata.

Dua orang kanak-kanak memegang belon trofi Liga Perdana di luar Anfield selepas Liverpool dinobatkan sebagai juara. Foto Reuters

Selain 1997, kemasukan Gerard Houllier pada tahun kemudiannya untuk berkongsi tanggungjawab pengurusan bersama Roy Evans juga tidak membuahkan hasil.

Kemudian, Rafael Benitez memimpin Liverpool di luar padang pada waktu Steven Gerrard yang dikenali sebagai Captain Fantastic memimpin Liverpool di atas padang.

Benitez berjaya membawa pulang piala Liga Juara-juara Eropah pada 2005, 21 tahun setelah Liverpool menang piala sama yang sebelum itu dikenali sebagai ‘European Cup’.

Pasukan itu yang mempunyai bintang seperti Xabi Alonso, Jamie Carragher dan kemudiannya Fernando Torres mampu bertarung dengan pasukan-pasukan elit seperti AC Milan dan Real Madrid.

Namun, kejayaan di tanah air sendiri belum mampu dicapai Liverpool.

Sesudah Torres meninggalkan Liverpool, pemain muda yang hebat seperti Luis Suarez dan Philippe Coutinho mengambil tempatnya untuk memberi nafas baharu kepada perjuangan Liverpool untuk kembali sebagai juara di England.

Pelatih seperti Brendan Rodgers, Roy Hodgson dan wira Liverpool Sir Kenny Dalglish telah mencuba pelbagai cara namun tidak kesampaian.

Pada 2014, Barcelona datang mempelawa Suarez yang pada masa itu menjadi ‘figurehead’ di Liverpool, sama seperti pengulangan episod hilangnya penyerang prolifik Michael Owen yang meninggalkan Liverpool untuk ke Real Madrid sepuluh tahun sebelum itu.

Ramai penyokong resah dan berpandangan bahawa Liverpool tidak seharusnya menjadi ‘feeder club’ kepada pasukan-pasukan besar.

Kemudian, masuk seorang pelatih Jerman bernama Jurgen Norbert Klopp pada 2015.

Beliau seorang jurulatih yang tidak mementingkan taraf seorang pemain tetapi meletakkan fokus kepada kerja berpasukan dan berjaya meraih sokongan daripada seluruh bandar Liverpool yang kebanyakannya bekerja dalam industri pelabuhan.

Semangat setiakawan

Semangat berpasukan dan setiakawan yang disemai oleh Klopp berjaya merawat luka akibat kehilangan pemain seperti Suarez dan Coutinho, namun diganti dengan pemain seperti Sadio Mane, Virgil Van Dijk dan Mohamed Salah.

Mereka ini datang dari pasukan kecil tetapi mempunyai hala tuju yang sama; “konsep wira atau bintang tidak akan berjaya. Kita harus berjaya sebagai satu pasukan kerana walaupun klise, sukan bola sepak adalah sukan berpasukan, bukan individu”.

Itulah antara sebab saya telah lama mengikuti Liverpool sebab pasukan ini berbeza dengan yang lain. Liverpool bangun hasil titik peluh rakyat biasa dan bukan dengan duit syarikat gergasi seperti pasukan-pasukan lain.

Begitu juga saya melihat lensa politik negara yang sedang kita hadapi.

Suatu ketika dahulu, parti saya yang pada waktu itu masih bernama Parti Keadilan Nasional hanya memperoleh satu wakil rakyat selepas pilihan raya umum ke-10; mantan presiden kita Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Selepas 19 tahun, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berjaya menduduki kerusi timbalan perdana menteri dan menjadi parti terbesar dalam kerajaan.

Penyokong Liverpool memegang selendang di dalam stadium sebelum perlawanan. Foto Reuters

Pembaharuan institusi yang kita telah dibawa bersama rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan pada peringkat negeri mula dilihat dalam Kerajaan Persekutuan.

Kini, tidak dapat dinafikan bahawa KEADILAN telah kehilangan sekumpulan besar ahli dan pemimpin yang telah membantu menubuhkan parti ini dan berjuang bersama kita.

Kekuatan kolektif

Namun, parti politik dan pasukan bola sepak mempunyai titik persamaan dari segi konsepnya yang berteras semangat setiakawan dan kekuatan kolektif yang dibina atas kekuatan individu masing-masing.

Saat ini mungkin ada kawan-kawan yang sedang tertanya apakah masa hadapan kita setelah berlaku episod yang kurang menyenangkan pada tahun ini.

Adakah kita mampu menguatkan semula parti kita? Bagaimana harus kita membina semula kepercayaan rakyat kepada kita? Mampukah kita meyakinkan generasi muda bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan mampu merealisasikan harapan rakyat supaya potensi luas negara kita dapat dicapai?

Soalan-soalan ini sudah pasti tertanya-tanya dalam kalangan kita dan ia tidak salah kerana dengan adanya renungan sebegini, dapat kita kembali kepada asal-muasal harapan dan iltizam parti dan perjuangan kita.

Ternyata masa hadapan parti kita akan jadi lebih cerah dan berjaya jika kita dapat belajar daripada sejarah dan menguatkan iltizam supaya idealisme kita menjadi panduan kepada segala yang kita lakukan.

Jika semangat setiakawan kita terus kukuh, saya yakin parti kesayangan saya dapat meraih kejayaan seperti pasukan kegemaran saya Liverpool.

Dan begitu juga pendekatan Selangor menggempur wabak Covid-19, begitu jugalah Liverpool mengajar saya bahawa kesabaran, kerja keras dan menjadi “team player” sangat penting dalam hidup ini dan menjadi resipi kejayaan mereka dalam perjalanan panjang atau “long haul” mencium piala Liga Perdana Inggeris hari ini.