Categories
AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia ditutup tertinggi dalam tempoh enam bulan

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Bursa Malaysia ditutup melepasi paras 1,600 mata hari ini, yang kali terakhir dicatatkan pada Januari tahun ini, dengan penggerak indeks utama – Top Glove dan Hartalega, kedua-duanya meningkat lebih daripada tiga peratus.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 14.59 mata kepada 1,606.43 berbanding paras penutup 1,591.84 pada Jumaat.

Indeks itu dibuka 4.56 mata lebih tinggi kepada 1,596.40 dan bergerak antara paras 1,595.75 dan 1,608.34 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, suasana pasaran kekal negatif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 576 berbanding 499, manakala 388 kaunter tidak berubah, 491 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 9.55 bilion unit bernilai RM5.7 bilion daripada 8.70 bilion saham bernilai RM5.03 bilion pada Jumaat.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata majoriti bursa Asia positif hari ini diterajui Indeks Komposit Shenzhen yang meningkat lebih daripada tiga peratus.

“Hanya Singapura yang diwakili Indeks FTSE Straits Times mencatatkan penurunan kurang daripada satu peratus susulan pasca pilihan raya,” katanya kepada Bernama.

Pasaran domestik juga mendapat rangsangan daripada potensi rawatan Covid-19 yang seterusnya memberikan harapan pemulihan ekonomi lebih pantas selepas firma biofarmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Gilead Sciences berkata Remdesivir dapat mengurangkan risiko kematian bagi pesakit Covid-19 dengan lebih banyak kajian perlu dilakukan.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata peningkatan kes Covid-19 di AS di tengah-tengah musim pelaporan pendapatan menyaksikan pelabur menyimpan saham yang mereka rasakan mungkin tidak terjejas dengan sekatan pergerakan.

Selain itu, pasaran juga bimbang menjelang mesyuarat jawatankuasa pemantauan bersama peringkat menteri Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada minggu ini.

Minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate turun lebih daripada satu peratus masing-masing kepada AS$42.68 dan AS$39.93 setong.

Innes berkata pelabur juga menantikan keputusan dasar monetari oleh Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan, serta musim pelaporan pendapatan yang akan bermula minggu depan.

Mereka juga memantau data ekonomi termasuk prestasi ekonomi suku kedua China.

Di dalam negara, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Top Glove melonjak RM2.08 kepada RM24.00, Hartalega naik 84 sen kepada RM17.90, IHH meningkat enam sen kepada RM5.40 dan Hong Leong Bank menokok 30 sen kepada RM14.82.

PChem susut lapan sen kepada RM6.22 manakala Maybank dan CIMB turun satu sen setiap satu masing-masing kepada RM7.89 dan RM3.80.

Dalam kalangan kaunter cergas, PDZ Holdings naik tiga sen kepada 23.5 sen, VSolar jatuh 1.5 sen kepada empat sen, Pegasus meningkat setengah sen kepada dua sen dan Anzo susut empat sen kepada 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 112.01 mata kepada 11,318.82, Indeks FBMT 100 meningkat 113.67 mata kepada 11,175.05 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 188.07 mata kepada 13,000.02.

FBM 70 meningkat 191.09 mata kepada 14,007.94 dan FBM ACE naik 71.86 mata kepada 7,247.51.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 5.06 mata kepada 13,551.70, Indeks Perladangan susut 15.80 mata kepada 6,845.28 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.18 mata kepada 138.89.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 4.33 bilion unit bernilai RM4.66 bilion daripada 5.70 bilion saham bernilai RM4.21 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.91 bilion saham bernilai RM609.48 juta berbanding 751.77 juta unit bernilai RM336.19 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.3 bilion unit bernilai RM436.25 juta berbanding 2.25 bilion saham bernilai RM492.04 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 472.99 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (845.35 juta), pembinaan (176.72 juta), teknologi (643.03 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.46 juta), hartanah (490.91 juta), perladangan (51.03 juta), REIT (7.82 juta), dana tertutup (55,400), tenaga (503.89 juta), penjagaan kesihatan (154.63 juta), telekomunikasi dan media (110.87 juta), pengangkutan dan logistik (773.82 juta) dan utiliti (46.98 juta).

– BERNAMA