Categories
AGENDA NASIONAL

Cegah penularan Covid-19 di sekolah, amal saranan KKM

SHAH ALAM, 15 JULAI: Jangkitan Covid-19 di sekolah harus dicegah kerana ia boleh mengakibatkan penularan meluas dalam kalangan rakan sebaya, guru, keluarga, dan komuniti.

Datuk Dr Noor Hisham Abullah berkata pematuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP) dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia penting bertujuan melindungi orang ramai daripada dijangkiti.

“Pengurusan sekolah harus memastikan terdapat penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter antara pelajar dengan pelajar dan antara guru dengan pelajar di dalam kelas mahupun di luar kelas.

“Bilangan pelajar dalam kelas juga perlu diperhatikan supaya penjarakan sosial dapat diamalkan setiap masa,” kata ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan dinasihatkan menjalankan pemeriksaan suhu sebelum pelajar masuk ke kawasan sekolah atau kelas serta membawa mereka ke fasiliti kesihatan berhampiran jika bergejala.

Selain itu, pihak sekolah juga dikehendaki menyediakan kemudahan sinki dengan air, sabun atau cecair pembasmi kuman dan kerap menggunakannya dengan kaedah betul.