Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 18 kes baharu, tiga kes pulih

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kes baharu Covid-19 kembali kepada dua angka apabila merekodkan 18 kes hari ini iaitu 10 kes import manakala baki kes penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 8,755 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 92 kes.

“Bagi kes import, ia melibatkan tujuh rakyat tempatan dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke negara ini atas urusan kerja.

“Daripada lapan kes penularan dalam negara, enam kes warganegara Malaysia dan dua kes warga asing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memcatatkan tiga kes pulih dan dibenarkan keluar hospital sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh 8,541 kes atau 97.6 peratus daripada jumlah keseluruhan selain kes kematian kekal 122 orang.

“Sehingga kini, masih terdapat tiga kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.