Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19 global: 539,600 maut, kes positif 11.79 juta

PARIS 8, JULAI: Angka korban Covid-19 di seluruh dunia terus meningkat dengan data terkini menunjukkan sekurang-kurangnya 539,620 maut akibat pandemik itu sejak mula dikesan di China, Disember lalu.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, angka jangkitan sehingga pagi ini mencecah hampir 11.79 juta kes, lapor AFP.

Data itu turut merekodkan pertambahan 190,000 kes positif Covid-19 di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu data dikumpul AFP daripada maklumat pihak berkuasa negara-negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan 4,466 kematian dalam tempoh 24 jam.

Amerika Syarikat (AS) terus kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 130,813 kematian, diikuti Brazil (65,487); United Kingdom (UK) (44,391); Itali (34,899) dan Mexico (31,119).

Belgium juga kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi berbanding penduduk iaitu 84 kematian per 100,000 rakyatnya, diikuti UK (65), Sepanyol (61), Itali (58) dan Sweden (54).

China tidak termasuk Hong Kong dan Macau merekodkan 4,634 kematian.

Negara Eropah pula melepasi angka 200,000 kematian dengan 200,255 kes kematian daripada 2,754,284 kes jangkitan; AS dan Kanada (139,564 kematian); Amerika Latin dan Caribbean (130,085), Asia (39,326); Asia Barat (18,557) dan Afrika (11,698).

Bagaimanapun angka itu tidak mencerminkan jumlah sebenar kes berikutan kebanyakan negara hanya melakukan ujian ke atas kes bergejala dan serius.