Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu kekal dua digit

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kes baharu Covid-19 kekal dua angka selepas 15 kes dilaporkan hari ini dengan 11 penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 10 kes dalam negara membabitkan warganegara dan satu warga asing yang dikesan ketika saringan di Depot Tahanan Imigresen Semuja, Sarawak.

“Lapan kes di Sarawak membabitkan beberapa kluster manakala dua lagi masing-masing direkodkan di Sabah dan Selangor.

“Empat kes import dikesan dari tiga warganegara yang pulang serta seorang warga asing yang masuk atas urusan kerja. Jangkitan dari Belanda, Arab Saudi, United Kingdom dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 8,815 kes dicatatkan dan 130 kes aktif manakala empat pesakit dirawat di unit rawatan rapi.

“Hari ini tujuh pesakit berjaya pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah sembuh sebanyak 8,562 kes iaitu 97.1 peratus.

“Tiada kes kematian baharu dilaporkan. Jumlah kumulatif kekal 123 kes iaitu 1.40 peratus dari keseluruhan,” katanya.