Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM kesan empat kluster baharu

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan empat kluster baharu Covid-19 hari ini yang mendapat jangkitan dari luar negara, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster berkenaan meliputi kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Pitakwa, PUI Shirala, Pusat Perubatan Kuching dan Jupiter.

Katanya, bagi kluster PUI Pitakwa adalah kes indeks berkaitan seorang warganegara Malaysia (kes ke-8,737) yang pulang dari Nigeria pada 11 Julai lalu.

“Saringan dilakukan di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapatinya negatif namun tiga hari selepas itu beliau perlu menjalani ujian ulangan kerana mula mengalami gejala lebih teruk dan dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

“Susulan itu, 44 kontak rapat dikenal pasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan kru kapal terbang selain pemandu teksi juga rakan sekerja,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata kluster PUI Shirala pula kes indeksnya membabitkan seorang bukan warganegara golongan profesional (kes ke-8,730) yang tiba di Malaysia pada 6 Julai atas urusan kerja.

“Saringan di India dan kemudiannya di KLIA negatif, namun lima hari kemudian beliau menjalani ujian ulangan bagi Covid-19 kerana mengalami gejala pada 11 Julai dan dikesan positif,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata kluster Pusat Perubatan Kuching merupakan kes indeks ke 8,734 iaitu seorang rakyat tempatan yang juga petugas kesihatan barisan hadapan menjalani saringan Covid-19 kerana berisiko tinggi namun tidak bergejala yang disahkan positif pada Selasa lalu dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Tambah Noor Hisham, kluster Jupiter pula membabitkan seorang warga asing iaitu kes indeks ke-8,723 dan merupakan seorang kru sebuah kapal yang berlayar selain mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun dan Singapura.

Katanya, individu terbabit mengalami gejala pada 3 Julai dan menjadi semakin teruk pada 11 Julai di perairan Sarawak sebelum dimasukkan ke pusat perubatan serta saringan mendapatinya positif.