Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kluster Sri Petaling tamat, 42,023 individu disaring

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kluster terbesar Covid-19 di Malaysia, kluster Perhimpunan Sri Petaling diisytiharkan tamat hari ini selepas tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari sejak 11 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 42,023 individu dalam kluster itu disaring sehingga jam 12 tengah hari tadi dengan 3,375 daripadanya positif.

“Kes-kes bagi kluster dan subkluster di bawahnya adalah dikesan di tujuh negeri melibatkan 2,550 warganegara Malaysia dan 825 bukan warganegara dari 28 negara.

“2,187 kes dari kluster ini tidak menunjukkan gejala, 87 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 pesakit memerlukan bantuan pernafasan manakala 3,341 individu sembuh,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Operasi pembersihan dan perpindahan pelajar tahfiz di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang diklasifikasi sebagai zon merah pada 23 Mac 2020. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Kes pertama kluster ini dilaporkan pada 11 Mac 2020, ia membabitkan kes ke-131 dan 136 warganegara Malaysia dari Pahang dan Negeri Sembilan yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Perhimpunan keagamaan itu berlangsung empat hari bermula 27 Februari sehingga 3 Mac 2020 dan dihadiri 16,000 orang.

Datuk Dr Noor Hisham berkata kluster yang meragut 34 nyawa itu kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan.

Penamatan ini menjadikan keseluruhan kluster ditamatkan di seluruh negara adalah 57.